Salam Perkenalan Kepada Semua

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua usahawan-usahawan cendawan dan pelawat blog ini.Bersyukur saya kehadrat ilahi kerana dengan izin dan limpahNya saya berjaya membuka perniagaan sendiri yang menjadi cita-cita saya sejak sekian lama iaitu perusahaan cendawan.Untuk pengetahuan semua, Cendawan Agro Farm di bawah nama HMD BERKAT MAJU ENTERPRISE ini telah dilancarkan pada awal bulan november 2009. Alhamdulillah, atas bantuan orang-orang yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya terutamanya Faizal(Cendawan Timur), Aidil dan Rusli(Dinar Sejahtera ENT) dan rakan-rakan usahawan cendawan yg lain, sekarang saya boleh berdikari mengusahakannya.Jutaan terima kasih kepada mereka.Saya juga ingin berterima kasih tak terhingga kepada keluarga saya terutama kepada ayah dan ibu serta adik-bradik kerana tidak pernah jemu memberi sokongan dan nasihat kepada saya untuk membangunkan Cendawan Agro Farm. Dalam menjayakan Cendawan Agro Farm ini terlalu banyak masa, tenaga dan pelaburan yang telah saya curahkan kepada Cendawan Agro Farm untuk terus berdiri megah.Sekali lagi saya ingin bersyukur kepada Allah S.W.T kerana tanpa izin dan limpahNya mungkin sehingga kini saya masih belum berada didalam industri cendawan ini.Alhamdulillah.

Siswazah Raih RM12000 Sebulan

UTUSAN MALAYSIA
Graduan raih RM12,000 sebulan tanam cendawan
Oleh TOREK SULONG
PASIR PUTEH 25 Dis. – Walaupun bergelar graduan Universiti Putra Malaysia (UPM), namun Nor Sanusi Mahmud, 25 tidak menyesal memilih untuk menceburi bidang tanaman cendawan.
Keputusan bijaknya itu membolehkan beliau meraih pendapatan sehingga RM12,000 sebulan.
Tanaman cendawan tiram kelabu yang diusahakannya sejak tahun 2004 kini menghasilkan sehingga 70 kilogram cendawan setiap hari.
Nor Sanusi yang berkelulusan Diploma Pengurusan Perniagaan berkata, sewaktu mula menceburi perusahaan itu, dia hanya berbekalkan modal permulaan sebanyak RM28,000 sahaja.
Menurutnya, idea untuk terlibat dalam penanaman cendawan yang diusahakan di Kampung Telaga Papan di sini timbul setelah melihat sendiri kejayaan petani di Hatyai, Thailand.
Kata beliau, dia kemudian membuat keputusan untuk mencuba teknologi penanaman cendawan seperti yang dilaksanakan di Hatyai itu sehinggalah kini berjaya menjadi pembekal utama cendawan ke pasar borong seluruh Kelantan.
‘‘Bezanya kaedah yang digunakan ialah saya bina bangsal cendawan dari kayu pokok gelam, batang nibung dan atap rumbia seperti yang dilakukan petani di Hatyai.
‘‘Dengan kaedah ini kita tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk membeli kayu dan atap asbestos yang semakin meningkat harganya seperti yang biasa dilakukan di negara ini,” katanya.
Tambah Sanusi, Pejabat Pertanian Pasir Puteh juga banyak membantu menjayakan projeknya dengan menyalurkan khidmat teknikal dan kepakaran termasuk kaedah penanaman yang sistematik.
‘‘Saya menjual cendawan ke beberapa tempat seperti Pasar Besar dan Pasar Borong Pasir Puteh dengan harga RM5.80 sekilogram.
‘‘Ia sudah cukup lumayan dengan pendapatan kasar sebanyak RM400 sehari,” katanya.
Beliau berkata, cendawannya mendapat permintaan tinggi bagi penghasilan masakan tomyam dan juga cendawan goreng yang diusahakan peniaga makanan di sekitar Kelantan dan sebahagian daerah di sempadan Kelantan dan Besut.
‘‘Saya sedia membantu usahawan baru khususnya belia lain yang berminat menceburi penanaman cendawan kerana prospeknya begitu baik ketika ini,” katanya.